KLANG | Tindakan seorang tekong sebuah tongkang yang merempuh bot Penggalang 41 awal pagi semalam untuk meloloskan diri daripada ditahan Maritim Negeri Selangor memerangkap diri sendiri.
Berikutan rempuhan itu juga mengakibatkan tongkang tersebut karam di lokasi kejadian dan kesemua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga hampir lemas.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, semasa rondaan bersepadu OP BENTENG LAUT dan OP EHSAN, bot Penggalang 41 Maritim Malaysia telah mengesan sebuah tongkang kayu mencurigakan sedang bergerak tanpa sebarang lampu menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Menurutnya, sebaik dipintas untuk diperiksa, tekong tongkang tersebut telah bertindak agresif dan cuba meloloskan diri dengan merempuh bot Penggalang 41.
“Rempuhan tersebut telah menyebabkan kerosakan di bahagian sisi Penggalang 41, namun semua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun kesemua mangsa diselamatkan oleh anggota Penggalang 41 dengan bantuan dua aset Polis Diraja Malaysia dan satu aset Tentera Laut Diraja Malaysia yang juga turut serta dalam OP BENTENG.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tongkang berkenaan membawa 19 warga asing termasuk tekong, terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, serta satu lelaki warga Pakistan dengan lingkungan umur 20 hingga 45 tahun.
Kesemua, 19 warga asing yang cuba menyusup keluar secara haram dengan menaiki sebuah tongkang kayu tanpa nombor pendaftaran, di kedudukan sekitar 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar lebih kurang jam 1.00 pagi semalam.
Katanya, kesemua suspek telah ditahan, 12 daripadanya telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tujuh lagi mempunyai passport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi.
Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Kesemua tahanan telah di bawa ke Jeti PPM untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Maritim Malaysia.
Orang ramai juga diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.