KUALA LUMPUR | Seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot yang berada di sekitar Selangor akan divaksin di Pusat Pemberian Vaksin Industri PPVIN MTC@Olak Lempit di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) yang telah memulakan operasinya pada 28 Julai.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PPVIN MTC@Olak Lempit merupakan PPVIN kedua yang beroperasi selepas Ladang Tennamaram dibuka pada 26 Julai.
“Operasi PPVIN melalui kerjasama dengan pihak industri adalah kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada semua pekerja sektor agrikomoditi tanpa perlu bergantung kepada PPV Awam yang mempunyai kekangan tersendiri.
“Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, buat masa ini vaksinasi secara ‘walk in’ bagi bukan warganegara hanya akan dibuat di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja bermula 9 Ogos hingga 22 Ogos dan mereka tidak dibenarkan untuk hadir di mana-mana PPV Awam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak industri digalakkan terlibat secara langsung dalam menyokong usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi.
Katanya, PPVIN diwujudkan sebagai pemudah cara di lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
“Bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut.
“Pelaksanaan kaedah PPV Bergerak juga boleh dibincangkan dengan lebih lanjut oleh pihak industri bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai trak vaksin dan dikemukakan permohonan kepada KPPK untuk diluluskan oleh CITF,” katanya.
Mohd Khairuddin berkata, pemberian vaksin adalah percuma, namun pihak syarikat masih perlu menanggung kos pentadbiran vaksin dan kos pengoperasian PPVIN sama ada di lapangan atau pun secara bergerak.
Katanya, caj keseluruhan yang ditetapkan bagi setiap pekerja juga tidak melebihi RM100.
“KPPK menyasarkan lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat.
“Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF,” katanya.