By Nor Shazleza Shahril
MACHANG | Tindakan kumpulan ahli Parlimen pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhimpun dan berdemonstrasi di Dataran Merdeka menuju ke Parlimen semalam dilihat mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan berisiko mencetuskan kluster COVID-19 baharu.
Susulan itu, Parti Pribumi Bersatu Bahagian Machang bersama 10 ahlinya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Machang, Kamaruddin Abd Kadir berkata, perbuatan yang dilakukan oleh 107 ahli parlimen itu adalah sangat tidak wajar dengan situasi kes harian Covid-19 yang masih tinggi.
“Sebagai penggubal dasar dan pemimpin di peringkat parlimen masing-masing, seharusnya mereka memikirkan cara bagaimana untuk melandaikan kes harian Covid-19.
“Kita dapat lihat rakyat khususnya golongan B40 yang terjejas akibat pandemik dengan kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan memerlukan bantuan dan inisiatif daripada kerajaan bagi kelangsungan hidup.
“Namun, sebaliknya tindakan berhimpun seperti itu mencetuskan kebimbangan kepada semua rakyat yang selama ini sanggup mematuhi segala perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Seharusnya mereka perlu ketepikan perbezaan politik untuk sementara dan berbincang untuk membina kembali ekonomi negara,” katanya ketika ditemui di perkarangan balai polis, hari ini.
Menurut Kamaruddin, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada rakyat kerana rakyat juga bertindak sebagai mata yang memerhati dan mampu menilai kerajaan yang terbaik.
“Jadi kami berharap agar tindakan yang setimpal dapat diberikan kepada ahli parlimen pembangkang selain tindakan berat dikenakan kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang berarak dari Dataran Merdeka menuju bangunan Parlimen susulan penangguhan Sidang Dewan Rakyat, Parlimen pada Isnin.
Selain Anwar, antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Bagan Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.