PUTRAJAYA | Usul untuk membahas Ordinan Darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September nanti.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Usul ini akan dibincangkan dalam mmesyuarat Jemaah Menteri esok.
“Diharapkan ia dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Baginda sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai tidak dapat disempurnakan.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.