KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan United Kingdom (UK) atas sumbangan 415,000 dos vaksin AstraZeneca (AZ) kepada Malaysia, semalam, bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Istana Negara menerusi laman Facebooknya memaklumkan, bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Emirates EK346 pada jam 2.20 petang semalam.
Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai sumbangan vaksin yang diberikan UK serta menzahirkan harapan kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mendepani cabaran pandemik dan menuju ke arah pemulihan.
“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi PICK.
“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini, menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya menerusi satu hantaran di sini.
Menjunjung titah Seri Paduka, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia Charles Hay dan kerajaan UK atas sumbangan itu.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada
Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Pick Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara kerajaan kedua-dua negara dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin terbabit.