KUALA KEDAH | Harga daun ketum di Thailand yang lebih mahal sehingga mencecah lebih RM180 satu kilogram (kg) berbanding RM70 nilai tempatan menjadikan ia rancak di seludup ke negara jiran.
Bagaimanapun, ketangkasan Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 750 kg daun ketum di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang, Kedah pada 4.00 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya telah mengesan bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan ditinggalkan di tepi muara.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot telah menemukan 75 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 750 kg dan bernilai sekitar RM135 ribu.
“Daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM 198 ribu itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
Katanya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.
Tegas beliau, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini.
“Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.