KOTA BHARU | Pesakit COVID-19 dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di negeri ini meningkat lebih 200 orang dalam tempoh dua minggu ini berbanding bawah 130 orang sebelum ini.
Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan di antara 25 hingga 30 peratus.
Katanya, peningkatan itu membabitkan mereka yang berusia di antara 28 hari sehingga 12 tahun.
“Peningkatan pesakit dalam kalangan bayi dan kanak-kanak yang berusia di bawah umur 12 tahun itu amat membimbangkan.

“Faktor peningkatan kes disebabkan berlakunya pertambahan jumlah positif Covid-19 dalam kalangan orang dewasa.
“Kanak-kanak ini didapati positif Covid-19 bagi kategori satu dan dua. Mereka kemungkinan besar berjangkit daripada ibu bapa, penjaga atau ahli keluarga yang menjadi kontak rapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan 200 kotak makanan untuk kanak-kanak yang disampaikan oleh Pemilik GMF Ideal Gift Supply, Woon Sneau Huey di PKRC Tanjung Chat di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.
Mengulas lanjut Dr Mohd Zurairie berkata, kanak-kanak di bawah umur ini akan ditempatkan di PKRC bersama ibu bapa atau penjaga mereka.