KOTA BHARU | Susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak sejak beberapa hari yang lalu, Kelantan akan membuka beberapa lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk menampung jumlah pesakit.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, PKRC itu akan dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut yang sebelum ini berada dalam keadaan ‘standby mode’.
Katanya, PKRC SMK Kampung Laut akan dibuka kembali hari ini dan dapat menempatkan seramai 250 pesakit iaitu 130 lelaki dan 120 wanita.
“Pembukaan PKRC SMK Kampung Laut menjadikan jumlah keseluruhan PKRC di negeri ini sebanyak 13 buah.
“Kita juga akan membuka PKRC di dua daerah iaitu Machang dan Gua Musang dan pihak kita kini sedang dalam proses untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan 200 kotak makanan untuk kanak-kanak yang disampaikan oleh Pemilik GMF Ideal Gift Supply, Woon Sneau Huey di PKRC Tanjung Chat di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.
Dr Mohd Zurairie berkata, kadar penggunaan katil di 12 PKRC di Kelantan sehingga hari ini adalah di antara 70 hingga 95 peratus.