By Nik Amir
KOTA BHARU | Kelantan United FC sekadar meraih satu mata selepas terikat seri 2-2 dengan Selangor FC II pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang tadi.
Meskipun selesa mendahului 2-0 namun kelab bimbingan Nazrulerwan Makmor gagal mempertahankan kelebihan itu apabila membenarkan pelawat bangkit menyamakan kedudukan dalam separuh masa kedua.
Tempoh 20 minit pertama menyaksikan tuan rumah menguasai permainan namun gagal mencipta gerakan berbahaya untuk menembusi gawang Selangor FC II.
Pelawat yang dilihat lebih banyak bertahan akhirnya mencipta gerakan pertama namun percubaan penyerang import Ghana, Alexander Agyarkwa gagal menepati sasaran, pada minit ke-23.
Kebuntuan jaringan bagaimanapun terlerai pada minit ke-33 apabila penyerang tuan rumah, Muhammad Zafuan Azeman yang tidak dikawal di dalam kotal penalti menanduk masuk gol pertama selepas menerima hantaran silang rakan sepasukannya.
Kelantan United FC sepatutnya menambah gol kedua tetapi Ariusdius Jais mensia-siakan peluang terhidang apabila menyepak lemah bola terus ke dakapan penjaga gol lawan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, pada minit ke-43.
Minit-minit akhir babak pertama, Selangor FC II memperoleh sepakan percuma namun percubaan Muhammad Izzul Adham Suhaimi serong di sebelah kiri gawang untuk kedudukan 1-0 kekal memihak tuan rumah.
Bersambung babak seterusnya, Selangor FC II hampir menyamakan kedudukan hasil gerakan solo Azannis Adzri Abdul Halim namun sempat ditampan keluar kapten, Yuki Tanigawa sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah daripada dibolosi, pada minit ke-53.
Bagaimanapun seminit kemudian, menerusi serangan balas pantas rumah berjaya menjarakkan kedudukan 2-0 setelah Gassama Alfusainey menolak masuk bola hantaran silang pemain gantian Mohamad Fazrul Amir Zaman.
Pelawat yang tersentak dengan jaringan itu bangkit merapatkan jurang menerusi tolakan Agyarkwa selepas menerima umpanan daripada Muhammad Faiz Amer Runnizar, pada minit ke-70.
Aksi kembali rancak selepas itu dengan giliran Kelantan United FC membalas serangan namun ketangkasan penjaga gawang pelawat menafikan rembatan kencang Gassama, tiga minit kemudian.
Pemain gantian, T Saravanan muncul penyelamat buat Selangot FC II apabila menampan masuk gol penyamaan hasil kealpaan benteng pertahanan tuan rumah, pada minit ke-82 untuk kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi mata pada pertemuan itu.
FOTO : MFL