KOTA BHARU | Tindakan Ahli Parlimen (MP) yang terbabit dalam perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka, di ibu negara, kelmarin jelas menunjukkan mereka lebih mengutamakan politik, sedangkan rakyat pula dibiarkan menderita berdepan dengan penularan wabak Covid-19 sehingga meragut banyak nyawa.
Timbalan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan, Mohd Ekhwan Mohd Hatta, berkata sikap mementingkan diri itu membuktikan pemimpin yang terbabit tidak mengambil peduli sekiranya tindakan mereka boleh menyebabkan wujudnya kluster baharu hasil daripada perhimpunan itu.
Justeru, katanya, mereka perlu bertanggungjawab sekiranya kes Covid-19 akan meningkat mendadak hasil perbuatan mereka yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) berikutan penularan jangkitan itu berisiko tinggi apabila MP terbabit pulang ke kawasan masing-masing bertemu rakyat.
“Perbuatan MP yang terbabit jelas tidak menunjukkan teladan yang baik sebagai pemimpin ketika negara sedang bergelut dengan penularan wabak Covid-19 terutama varian Delta yang lebih membimbangkan.
“Mereka seolah-olah ‘mengajar’ rakyat bahawa melakukan perhimpunan ketika negara berlawan Covid-19 adalah sesuatu yang baik seperti mana anjuran perhimpunan baju hitam Sabtu lalu.
“Apa gunanya memasuki Parlimen pada waktu ini sedangkan mereka boleh melakukan demikian September nanti. Jika tidak berpuas hati, mereka boleh luah pada pembukaan Parlimen nanti,” katanya kepada Journal Malaysia, di sini.
Mohd Ekhwan yang juga Ketua Armada Bahagian Kota Bharu berkata, perhimpunan yang diadakan mereka juga jelas sememangnya sudah dirancang apabila sepanduk dan kain rentang dilihat sudah disiapkan daripada awal.
Katanya, penangguhan Sidang Parlimen bukan dibuat sesuka hati, sebaliknya dilakukan atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang bimbang dengan penularan terutama varian Delta di Parlimen dan kawasan lain selepas mereka pulang nanti.
Menurutnya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) cukup prihatin dengan keselamatan dan nyawa semua MP serta individu yang hadir di Parlimen apabila mencegah lebih awal menangguh sidang Parlimen sebelum keadaan bertambah buruk.
“Sehubungan itu, saya menggesa supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap MP dan individu yang ingkar SOP dengan mengadakan perhimpunan berkenaan, tanpa mengira siapapun diri mereka.
“Saya juga mengucapkan tahniah buat pasukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berjaya meredakan keadaan di perhimpunan terbabit,” katanya.