KUALA LUMPUR | Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius perkembangan terkini kemelut politik yang sedang berlaku dalam kerajaan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menegaskan untuk terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, PAS akan bersama-sama memberi tumpuan bagi menangani penularan wabak COVID-19 melalui strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang digerakkan oleh kerajaan.
“PAS juga akan terus komited untuk membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini.
“Justeru, diharapkan seluruh rakyat Malaysia bersabar dan memberikan kerjasama ke arah usaha menangani COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebarang kenyataan mengenai pendirian PAS terhadap kemelut ini hanya akan dikeluarkan oleh Presiden dan Setiausaha Agung sahaja.