KLUANG | Seorang lelaki berusia 30-an yang sedang melakukan kerja-kerja kimpalan ditemukan meninggal dunia dalam sebuah longkang di Jalan Kristal, Taman Kristal Simpang Renggam, di sini malam tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Razali, mangsa sebelum itu sedang melakukan kerja di kawasan berhampiran.
Katanya, mangsa ditemukan terbaring tidak sedarkan diri oleh rakan sekerjanya di dalam longkang berkenaan.
“BBP Renggam menerima panggilan kecemasan menyelamat mangsa di dalam longkang melalui talian terus ke balai pada pukul 10.22 malam beralamat di Jalan Kristal. Satu jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, terdapat seorang mangsa lelaki dewasa terbaring dalam longkang dengan kedalaman enam kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Rahim berkata, PKO bertindak mengangkat mangsa dengan menggunakan tangga dan pengusung sebelum dibawa naik dalam tempoh lima minit.
“Mangsa telah disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 11 malam berikutnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE