KUALA LUMPUR | Penularan varian-varian baharu iaitu Delta, Delta Plus dan Lambda mendapat tumpuan dalam mesyuarat antara Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Menteri Luar China, Korea Selatan dan Jepun semalam.
Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, setiap wakil negara mengutarakan pandangan dan saling berkongsi pelan strategik negara masing-masing.
Katanya, ianya termasuk dalam konteks vaksinasi, ujian saringan dan penetapan prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, selain itu, setiap negara senada bahawa pengiktirafan bersama terhadap vaksin bukan sahaja penting untuk tujuan rentas sempadan, malah perancangan untuk memulakan semula aktiviti pelancongan yang selamat.
“Kepentingan pengiktirafan bersama vaksin khususnya sesama negara ASEAN ini bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa hadapan.
“Ia perlu dibuat dengan segera agar semua pihak bersedia apabila situasi mengizinkan kelak,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, isu semasa dan soal keselamatan juga disentuh termasuklah mengenai Laut China Selatan serta kepentingan
keselamatan siber memandangkan platform online paling banyak digunakan di era pandemik ini sekali gus meningkatkan risiko jenayah siber.