KUALA LUMPUR | “Jika Pakatan Harapan (PH) ada majoriti, buktikan keabsahannya,” cabar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nadzir Helmi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sudah beberapa kali Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mempunyai majoriti, namun gagal untuk membuktikannya.
“Tuduhan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai majoriti adalah suatu persepsi yang dilemparkan PH dengan niat menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.
“Sekalipun kerajaan hari ini didakwa tidak mempunyai majoriti, sokongan kerajaan telah teruji melalui undian-undian di Dewan Rakyat sebelum ini, termasuk yang terkini undian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021,” katanya.
Nadzir berkata, undian di Dewan Rakyat sebelum ini membuktikan PN mempunyai majoriti sokongan semasa kerajaan ini terbentuk.
Katanya, disebabkan itu, kerajaan PN berani menzahirkan bilangan sokongan mereka melalui undi percaya dalam sidang Parlimen akan datang.
“Pakatan Harapan tidak perlu membuktikan mereka mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat, jika mereka benar-benar mempunyai majoriti.
“Kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin melawan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada tahun 2010 membuktikan bahawa majoriti sokongan boleh sahaja dibuktikan di luar dewan,” katanya.
Nadzir turut menyoal, bila Anwar Ibrahim dan PH ingin buktikan.
“Jangan hanya bermain persepsi. Buktikan majoriti anda jika berani.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.
Beliau menegaskan akan menentukan keabsahan dalam Sidang Parlimen September ini.