KUALA LUMPUR | Polis membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan Ahli Parlimen (MP) pembangkang di Dataran Merdeka, kelmarin.
Ia susulan laporan yang diterima pihaknya di seluruh negara yang berjumlah 206 laporan polis.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes disiasat di bawah kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.
Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil individu yang terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Sehubungan itu, kita minta semua individu yang terbabit dalam perhimpunan itu untuk memberikan kerjasama bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut beliau berkata, PDRM mengambil maklum bahawa pada 31 Julai lalu, Setiausaha Dewan Rakyat mengemukakan pemberitahuan kepada Ahli Dewan Rakyat yang Persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat semalam, ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditetapkan kelak.
“Penangguhan ini selaras cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaru penularan jangkitan COVID-19 yang mana KKM berpendapat Parlimen Malaysia adalah lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan,” katanya.
“Susulan itu PDRM menerima maklumat satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos (kelmarin). Mengambil kira pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk Ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka PDRM mengambil langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan.
“Tindakan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293 bertarikh 4 Julai lalu di mana berhimpun dan berarak adalah aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” katanya.