KOTA BHARU | Polis akan membuat siasatan berhubung laporan 16 individu termasuk seorang kanak-kanak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila menunaikan solat berjemaah di sebuah Surau di Kampung Batu 6, Pengkalan Chepa, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima maklumat awam pada jam 9 malam kelmarin.
Katanya, 16 individu termasuk kanak-kanak dikatakan menunaikan solat berjemaah di surau itu.
“Berhubung dengan laporan itu, pihak polis telah menjalankan siasatan di bawah seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Pihak Polis akan teruskan siasatan lanjut berhubung dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan atas laporan itu dan belum ada apa-apa tindakan yang lain.