KUALA LUMPUR | Sebanyak 1.5 juta dos vaksin Covid-19 dijangka dihantar ke Johor sekali gus bakal meningkatkan kadar vaksinasi kepada 60,000 dos sehari.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau mengambil maklum titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung kadar vaksinasi di negeri itu yang masih rendah berbanding negeri lain.
Justeru, beliau sudah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin untuk melihat situasi itu dan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besasr Johor, Datuk Hasni Mohammad bagi meningkatkan bekalan vaksin ke negeri itu.
“Saya difahamkan sebanyak 1.5 juta dos akan dihantar ke Johor iaitu lebih daripada 1.3 juta yang diumumkan sebelum ini, sekaligus bakal meningkatkan kadar vaksinasi kepada 60,000 dos sehari.
“Dengan kadar vaksinasi itu, Alhamdulillah kita menganggarkan Johor akan mencapai tahap 40 peratus populasi dewasa divaksinasi sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
“Di Muar dan Pagoh sahaja, kita telah capai 60 peratus populasi dewasa divaksinasi dan ini merupakan perkembangan yang amat menggalakkan,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, malam ini.
Menurutnya, beliau sempat meninjau sendiri proses vaksinasi dijalankan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Dataran Felda Batu 27, Lenga di Pagoh Johor, hari ini.
“Di situ saya juga sempat menyampaikan sumbangan makanan kepada dua wakil masyarakat Felda Moakil, sebelum singgah ke kediaman warga emas, Ismail bin Simat bagi menyerahkan Bakul Prihatin Negara,” katanya.
Media semalam melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di negeri itu yang masih rendah.
Titah baginda, statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 1,184,151 individu menerima vaksin dos pertama sehingga Isnin lalu.
Tamat