KUALA LUMPUR | Sebanyak 3,647 laporan insiden keselamatan siber yang dilaporkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata, insiden itu melibatkan penipuan dalam talian, pencerobohan, kod jahat dan gangguan siber.
Katanya, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga turut menerima kesannya.
“Oleh itu, kita telah meningkatkan sistem keselamatan dan hanya sumber yang berautoriti sahaja dibenarkan untuk memuat naik bahan yang telah diluluskan.
“Setiap maklumat yang disampaikan perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan yang dimuat naik itu adalah tepat, sahih dan benar bagi memastikan sistem keselamatan terjaga daripada sebarang ancaman siber yang semakin meningkat pada masa kini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Terdahulu beliau, beliau menyempurnakan Majlis Pemerkasaan Media Sosial yang dianjurkan oleh Seksyen Media Sosial secara atas talian semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai penjawat awam dan ATM, mereka tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Akta Angkatan Tentera 1972.
“Dari itu, elakkan terjebak dengan penularan berita palsu sama ada melalui aplikasi whatsApps, SMS atau komen negatif di media sosial yang boleh memudaratkan diri dan perkhidmatan.
“Kementerian tidak akan berkompromi, malah mengambil tindakan sewajarnya ke atas warganya yang terlibat,” katanya.
Beliau menasihatkan warga Kementerian Pertahanan dan ATM agar menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat memandangkan organisasi itu mempunyai isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya.
Katanya, sebarang ketidak pastian maklumat hendaklah dirujuk kepada Kementerian atau pasukan yang bertanggungjawab memandangkan trend penyebaran berita palsu menggunakan media sosial agak meruncing.
Pada perkembangan yang lain beliau berkata, sepanjang negara berdepan isu pandemik COVID-19, media sosial rasmi Kementerian Pertahanan telah berperanan penting dalam penyebaran maklumat kerajaan.
“Sebagai sebuah organisasi keselamatan, kementerian menyokong penuh setiap usaha dan langkah diambil kerajaan dalam hal penyebaran maklumat.
“Selain itu, kita juga tidak hanya memfokuskan kepada penyebaran COVID-19 semata-mata, bahkan peranan media sosial kita lebih menyeluruh dengan menjadi salah satu sumber penyampaian aktiviti kementerian, ATM dan agensi di bawahnya,” katanya.