KUALA LUMPUR | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan, pihak
kerajaan Arab Saudi membuka pintu kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan dalam pertemuan mereka di Putrajaya.
“Alhamdulillah, saya dimaklumakan bahawa mulai 1 Ogos lalu, Arab Saudi membuka pintunya kepada pelancong dari 49 buah negara termasuk Malaysia. Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.
“Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif COVID-19 yang tinggi, tetapi kadar vaksinasi yang amat pantas (antara terpantas di dunia) menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan.
“Di samping itu, keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1 peratus kes hanya di tahap 1 dan 2 serta kadar kesembuhan 81.37 peratus menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, Malaysia juga masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.
“Saya ingin menyeru umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar wabak COVID-19 segera pulih agar kita dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat.
“Hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara,” katanya.
Pada perkembangan yang lain Zulkifli berkata, sumbangan 1 juta dos Astrazeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz dan Yang Mulia Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief) amat dihargai.