KOTA BHARU | Semua pihak perlu berpada-pada berpolitik, jangan sampai menjadikan rakyat sebagai mangsa di saat negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, kata Timbalan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan, Mohd Ekhwan Mohd Hatta.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati perkenan Yang di-Pertua Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu usul undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.
Justeru, Ketua Armada Bahagian Kota Bharu itu berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa tidak meletakkan kepentingan poliknya semata-mata dengan mendesak Perdana Menteri mempercepatkan usul berkenaan diadakan.
“Sidang Parlimen diadakan September ini…jadi apa salahnya tunggu sedikit lagi masa. Dalam keadaan semua pemimpin beri tumpuan sepenuhnya menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19, jangan pula kita mempunyai kepentingan politik.
“Kalau betul terdapat majoriti tidak percaya, maka buktikanlah di Parlimen nanti. Namun saya yakin Perdana Menteri ketika ini mempunyai majoriti yang cukup nanti,” katanya ketika dihubungi Journal Malaysia, di sini, hari ini.
Semalam, Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berjanji untuk membawa usul undi percaya terhadapnya pada sidang parlimen yang dijadualkan bulan depan.
Pengumuman itu dibuat selepas dia terus menerus ditekan berhubung keabsahan jawatannya sebagai perdana menteri.
Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan, beliau yakin rakyat akan terkena tempias buruk hasil tindakan pentingkan diri sendiri Zahid mahupun pembangkang yang lain jika kerajaan bertukar sekalipun.
Katanya, misalnya Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) yang menjaga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ditukar kepada pemimpin lain pastinya akan membantut program vaksinasi ketika ini.
“Ini kerana, jika menteri baharu mengambil alih, ia pasti memakan masa yang lama untuk memastikan program vaksinasi misalnya untuk kembali berjalan lancar.
“Tidak dinafikan Menteri perlu taat kepada parti, tapi disebabkan keadaan Covid-19 agak membimbangkan, maka masa depan nyawa rakyat lebih penting. Jadi menteri kena ambil tanggungjawab selesaikan dulu masa depan rakyat, baru bincang politik.
“Rakyat semakin hari semakin tersempit ekoran pandemik ini, namun dia pula tergopoh-gopoh mengejar kepentingan politik sehingga mengganggu gugat keselamatan dan nyawa rakyat.
“Saya juga yakin, semua pihak termasuk rakyat itu sendiri tidak setuju untuk tukar kerajaan dalam tempoh keadaan Covid-19 di negara ini yang semakin membimbangkan. Ini bukan masanya main politik, apa salahnya kita saling duduk ‘semeja’ mencari penyelesaian sama-sama,” katanya.