PELABUHAN KLANG | Maritim Negeri Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang penyelam yang lemas di perairan Sungai Besar dan masih belum ditemui.
Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua mulai jam 7.00 pagi semalam dengan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Nyalau, Pengawal 26 dengan dibantu oleh bot PSC 15 Pasukan Polis Marin, KD Teguh Samudera dari Tentera Laut Diraja Malaysia serta komuniti nelayan setempat.
Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritim Malaysia, semalam sektor pencarian diperluaskan meliputi 148.83 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Sungai Besar.
“Calvin Patrick Lazaroo, 27, dikatakan bersama tiga rakan melakukan selaman bagi tujuan mengikat tali pada bot karam.
“Mereka hilang pada jam lebih kurang 10.30 pagi apabila tidak timbul ke permukaan air. Pencarian selama empat jam oleh rakan gagal menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, cuaca di lokasi pencarian hujan serta kabus dengan kelajuan angin sekitar 20-30 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 1.0 hingga 1.5 meter.
Katanya, operasi carilamat turut dibantu Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia dan komuniti nelayan setempat.
“Pangkalan Hadapan CARILAMAT juga telah ditubuhkan di Jeti Perikanan Sungai Besar, Selangor pagi tadi.
“Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut,” katanya.
Maritim Malaysia dan meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.