KOTA BHARU | Dakwaan seekor beruk di Gua Musang yang tular dijangkiti COVID-19 adalah tidak benar.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin menafikan mesej yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi whatsApp itu.
Katanya, pihaknya tidak pernah melakukan ujian saringan kepada haiwan termasuk beruk.
“Dakwaan itu tidak munasabah kerana kita tidak membuat sebarang ujian saringan kepada haiwan.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kerana ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tular di aplikasi whatsApp dan Facebook sejak malam tadi yang menunjukkan seekor beruk dipakaikan gelang merah jambu kerana didakwa positif Covid-19.