KUALA LUMPUR | Dua masjid di Wilayah Persekutuan akan menjadi pusat transit mangsa keganasan rumah tangga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, 12 masjid lagi menyediakan khidmat bimbingan nasihat kepada mangsa.
“Masjid berkenaan termasuk Masjid Wilayah Persekutuan; Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail (TTDI); Masjid Al-Imam Al-Ghazali dan Masjid Al-Qurtubi.
“Mangsa keganasan rumah tangga ini akan diberi perlindungan sementara, makanan dan minuman, khidmat nasihat dan kaunseling.
“Ia terbuka untuk agama Islam dan bukan Islam,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, kit persalinan juga akan diberikan oleh pihak masjid kepada mangsa ini.
“Alhamdulillah, usaha ini akan dikembangkan di negeri-negeri lain dengan izin Allah SWT. Impak pandemik memperlihatkan banyak kes-kes berkaitan dan meningkat.
“Masjid perlu diberi peranan sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW dan zaman kegemilangan Islam,” katanya.