KUALA LUMPUR | Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menegaskan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan projek rintis ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi di kawasan FELCRA Seberang Perak merupakan dua inisiatif yang berbeza.
MAFI dalam satu kenyataan berkata, projek ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi seluas 1.08 hektar di kawasan FELCRA Seberang Perak adalah projek rintis melalui kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan sebuah syarikat swasta.
“Projek itu bertujuan meningkatkan pendapatan para pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi. Insiaitif ini bukan sebahagian daripada program SMART SBB.
“Justeru, tidak timbul isu kerajaan mengubah strategi pelaksanaan SMART SBB dengan penternakan udang seperti yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan,” katanya.
Kenyataan itu berkata, program SMART SBB yang telah mendapat persetujuan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) adalah salah satu inisiatif MAFI dirangka bagi mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75% dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Katanya, ianya dilaksanakan oleh jabatan dan agensi dibawah MAFI iaitu Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
“Kesemua jabatan dan agensi ini merupakan penyelaras selain bertindak sebagai pemantau program dan aktiviti dalam melaksanakan dasar Kerajaan dan turut menyediakan khidmat pengembangan kepada pesawah dan sebagainya.
“Pelaksanaan program SMART SBB melibatkan para pesawah sebagai rakan kongsi utama Kerajaan. Sehubungan itu, kepentingan dan kesejahteraan para pesawah dalam sektor padi dan beras negara sentiasa menjadi keutamaan MAFI,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, dalam menjaga kepentingan semua pihak, MAFI sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pesawah-pesawah melalui jabatan dan agensi.
Katanya, ini bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara efektif dengan kerjasama padu bagi mencapai objektif yang dihasratkan.
“Usahasama pihak awam dan swasta ini juga akan membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi per metrik tan setahun sehingga 191% dan seterusnya nilai pendapatan tahunan sehingga 47% menerusi peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 kepada 7.0 metrik tan.
“Malah hampir kesemua risiko dan kos penanaman padi yang sebelum ini ditanggung oleh pesawah akan dapat dikurangkan sekaligus meningkatkan margin pendapatan pesawah,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, inisiatif ini juga membolehkan pelaksanaan pendekatan baharu melalui konsep pertanian moden seperti pelaksanaan sistem profil tanah, pertanian pintar, kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (loT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk meningkatkan hasil per hektar.
Selain itu, katanya masalah pemutuan sebanyak dua kali di kawasan yang mempunyai pusat belian padi dan menyebabkan kadar pemutuan yang tinggi juga dapat dielakkan melalui insiatif SMART SBB.
“Pada masa yang sama, pelaksanaan SMART SBB juga akan menghapuskan atau mengurangkan peranan orang tengah yang mengaut keuntungan atas angin dengan mengenakan caj perkhidmatan tinggi kepada pesawah bagi sewaan mesin dan jentera tanaman dan tuaian, pengawalan serangan makhluk perosak, pengangkutan padi dan sebagainya.
“MAFI melalui jabatan dan agensi dibawahnya sentiasa menjalankan pemantuan berterusan di lapangan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan para pesawah yang merupakan kumpulan sasar utama kementerian,” katanya.
Sehubungan itu, MAFI berharap supaya mana-mana pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan para pesawah.
Dalam usaha memantapkan industri padi beras yang lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, MAFI sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan semua khususnya pesawah dan pemain industri serta mengalu-alukan pandangan semua pihak yang berkepentingan.