PUTRAJAYA | Di sebalik polemik politik negara, kerajaan memberi jaminan bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan terus dilaksanakan demi kesejahteraan semua rakyat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan terus komited dalam usaha membawa Malaysia keluar dari pandemik COVID-19 menerusi strategi PPN yang sentiasa berlandaskan sains dan data.
Menteri Penyelaras Majlis Pemulihan Negara itu berkata, kerajaan juga menggunakan pendekatan whole-of-nation dan mengambil kira input semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.⠀
“Selaras dengan pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, saya ingin nyatakan bahawa PPN akan terus dilaksanakan demi kesejahteraan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas berkata, beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
“InsyaAllah, dengan usaha kita bersama dan fokus untuk menyelamatkan negara melangkaui kepentingan peribadi, kita pasti akan #MenangBersama,” katanya.
Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan, beliau berkata, ianya akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.
Dalam perkara sama, Perdana Menteri juga menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik sengaja dicetuskan pihak tertentu cuba menangguk di air yang keruh.