By Nik Amir
KOTA BHARU | Kegagalan Kelantan United FC memungut mata penuh selepas diikat 2-2 oleh Selangor FC II dalam aksi Liga Premier di Kota Bharu, pada Rabu, nyata mengecewakan Nazrulerwan Makmor.
Ketua Jurulatih skuad The Green Deer itu sukar menerima kenyataan tiga mata yang sepatutnya menjadi milik mereka diragut begitu sahaja pasukan pelawat dalam pertemuan tersebut.
“Kita tak boleh terima keputusan (seri 2-2) ini kerana kita bermain dengan pasukan budak-budak (pasukan pembangunan) dan walaupun mendahului tapi pemain kita ambil mudah.
“Saya tak boleh terima keadaan macam ini, kita melakukan kesilapan, (termasuk) kesilapan kecil yang memberi keyakinan kepada pemain Selangor FC II sehingga mereka menghukum dengan dua jaringan itu,” jelas pengendali berusia 40 tahun dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Pada aksi yang berlangsung dalam cuaca panas terik itu, Kelantan United FC selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Muhammad Zafuan Azeman pada minit ke-33 dan Gassama Alfusainey (m-54).
Namun Selangor FC II membuktikan mereka bukan pasukan yang mudah untuk dikalahkan apabila bangkit mengikat keputusan 2-2 hasil gol Alexander Agyarkwa (m-70) dan T Saravanan, tujuh minit sebelum permainan berakhir.
Menurut bekas pemain Selangor, Johor dan Sabah itu, sikap pemain yang hilang fokus selain melakukan kesilapan tidak sepatutnya telah menyebabkan pasukan menanggung kerugian apabila hilang mata penuh.
“Dalam bola sepak kalau anda tak fokus, anda akan kena. Kita akan memperbaiki kelemahan yang ada, saya nampak ketara hari ini perlu menguatkan bahagian tengah dan pertahanan,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Selangor FC II, Micheal Feichtenbeiner menghambur pujian kepada anak buahnya setelah berjaya mencipta kebangkitan biarpun ketinggalan pada suatu ketika dalam pertemuan tersebut.
Menurut jurulatih import dari Jerman itu, walaupun gol kedua Kelantan United FC boleh disimpulkan membunuh semangat juang pemain namun mereka membuktikan sebaliknya.
“Saya bangga dengan pemain kerana mampu bangkit selepas ketinggalan 2-0. Bukan mudah beraksi dalam cuaca panas dan lawan pula pasukan yang bagus tetapi mereka tidak mudah menyerah kalah.
“Saya fikir kami berhak untuk seri kerana kami juga kerap kali menyerang tanpa bertahan semata-mata dan di atas sikap positif mereka mendapat manfaat (keputusan seri) dalam perlawanan ini,” tambahnya.