KOTA BHARU | PAS melahirkan rasa dukacita dengan kenyataan UMNO yang sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu juga tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub di dalam Piagam Muafakat Nasional.
Katanya, walaupun PAS tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam parti lain, namun sebagai rakan pihaknya perlu tahu kemana hala tuju yang mahu dibawa selepas ini.
“Kerajaan PN adalah kerajaan yang terbaik dan soal kelemahan, semua pihak mempunyai kelemahan.
“Perbincangan biasa juga kita tetap buat dan Muafakat Nasional (MN) dan kita harap kita mampu mempertahankan kerajaan PN,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kolej Wadi Sofia, di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sudah membuat kenyataan dan ianya mampu menenangkan keadaan.
“Selepas disemak, Muhyiddin masih mempunyai majoriti dan sekiranya ada pihak mendakwa mereka mempunyai majoriti, boleh kemukakan di Parlimen pada September ini.
“Pada 6 September akan ada sidang Parlimen titah Yang di-Pertuan Agong dan pada 7 September, satu usul undi percaya kepada Perdana Menteri,” katanya.