Oleh Nor Shazleza Shahril
SIK | Pilu hati seorang anak apabila tidak terdaya untuk menyelamatkan ibunya yang uzur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Charok Kemuning Dalam di sini, semalam .
Shuib Awang, 63, reda dengan kehilangan ibunya Siti Mariam, 90, yang meninggal dunia dalam kebakaran itu.
Dalam tragedi menjelang Subuh itu, Shuib turut cedera ringan, manakala isterinya, Zalina Mohamed, 59, melecur di kaki selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
Menceritakan kejadian, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, mereka sekeluarga sedang tidur dan dia menyedari rumah mereka terbakar pada jam 4.50 pagi selepas mendengar bunyi letupan di luar bilik selain, melihat asap tebal di dapur dan bilik lain.
Katanya, dia mengejutkan isteri dan ketika itu nampak sebahagian bilik kami pun sudah mula terbakar.
“Isteri terjatuh ketika kami mahu keluar dan kakinya berdarah, jadi saya terus mendukungnya, tapi sebelum kami sampai di pintu depan, kaki kiri saya pula terseliuh.
“Saya tetap gagahkan diri hingga kami berjaya keluar dan terus menjerit meminta tolong. Jiran keluar mahu membantu, tetapi api terlalu besar, kami tidak mampu buat apa-apa untuk selamatkan ibu.
“Dalam hati hanya Allah SWT sahaja tahu perasaan saya,” katanya.
Bapa lima anak itu berkata, arwah ibunya tidak dapat berjalan kerana uzur dan paha kanannya pernah patah dua tahun lalu.
Shuib berkata, isterinya dirawat di Hospital Sik dan sudah dibenarkan pulang manakala jenazah ibunya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu 8.
Kebakaran itu menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang dan Shuib berkata, mereka kini menyewa sebuah rumah di kampung berkenaan buat sementara waktu.
Dia juga menerima bantuan awal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan TUDM.