Oleh Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Enam lokaliti di tiga negeri di Pantai Timur dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula Sabtu ini.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata, PKPD membabitkan tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, Terengganu yang sepatutnya berakhir esok akan disambung sehingga 16 Ogos depan.
“Lokaliti di Mukim Sura itu adalah Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam.
“Di Pahang, lokaliti di Kompleks Penjara Bentong termasuklah kuarters di situ juga dikenakan PKPD sehingga 20 Ogos.
“Di Kelantan pula, PKPD sehingga 20 Ogos di Kampung Joh dan Kampung Maka, Machang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan itu, Hishammuddin berkata, PKPD di pelbagai lokaliti di tiga buah negeri akan berakhir esok, seperti yang sudah dijadualkan.
“Ia adalah 14 lokaliti di Temerloh iaitu di Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts, seluruh Kampung Padang Lalang, Taman Perumahan Sri Kemuning, Flat Sri Kemuning, Taman Temerloh Jaya,Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, seluruh FELDA Lakum, Kampung Paya Keladan dan Taman Keladan Indah.
“Satu lokaliti di Kampung Dewan Besar, Labok, Machang, Kelantan manakala dua lokaliti di Tuaran Sabah membabitkan Kampung Pukak, Mukim Tengah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria, Mukim Berungis.
“Kampung Gumandang di Kudat serta Kampung Lumatai Ulu, Beaufort dan tiga lokaliti iaitu Kampung Banting, Kampung Kawang danKampung Ulu Bole di Sepitang juga tamat PKPD,” katanya.