TERENGGANU | Keberanian Perdana Menteri yang bakal membawa usul undi percaya ke Dewan Rakyat tidak boleh disangkal lagi.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, ia membuktikan keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin
bagi menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan.
Beliau berpandangan usul undi percaya tidak bertentangan dengan Perlembagaan.
“Semua bentuk cadangan perlu mengikut proses membentangkan usul, jadi jika usul undi percaya hendak dibawa, ia hendaklah mengikut prosedur Parlimen.
“Kalau nak berebut kuasa, jawatan dan pangkat pun, sila bawa bertenang wahai ahli politik pembangkang serta kluster mahkamah.
“Sabar, tunggu 6 September depan. Tunggu sahaja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, itu adalah janji dan persetujuan Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah bagi membuktikan Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti.
Beliau berkata, keberanian Muhyiddin tidak boleh disangkalkan lagi kerana memikul tanggungjawab yang sangat berat menerajui negara mendepani tsunami pandemik COVID-19 selepas peralihan kerajaan tahun lalu.
“Malah, Perdana Menteri ke-8 yang berani ini bakal membawa usul percaya ke Dewan Rakyat kelak.
“Realitinya, usul undi percaya kepada Perdana Menteri pernah ada “precedent” nya di Dewan Rakyat iaitu pada 1976 oleh Perdana Menteri Ketiga dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya
Beliau berkata, untuk rekod, usul undi percaya pernah dikemukakan di Parlimen pada 1997 terhadap Perdana Menteri Keempat dan juga pada 2003 ke atas Perdana Menteri Kelima.
Menurutnya, dalam mengharungi cabaran politik semasa ini, beliau sentiasa berpegang kepada Firman Allah dalam surah Al Anfaal ayat 46 bermaksud ‘bersabarlah kerana Allah bersama orang yang bersabar’.
Insya-Allah Allah pastinya berada bersama dengan orang yang berusaha dengan sabar lalu limpahan kejayaan pasti menjelma.