SHAH ALAM | Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Al-Haj menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan kes rasuah di Negeri Selangor.
Menurut Selangor Royal Office, baginda berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti, supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.
Baginda juga menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah disegerakan dan mahkamah tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh, kerana rakyat juga sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes-kes rasuah yang berlarutan terlalu lama.
“Baginda turut mensasarkan agar gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat.
“Baginda menyeru SPRM tidak melayan sebarang permintaan penangguhan perbicaraan kes rasuah terutamanya di Selangor,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Turut berangkat dalam pertemuan selama dua jam itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Baginda diberi taklimat mengenai peningkatan yang tinggi membabitkan kes-kes rasuah khususnya di Negeri Selangor.