KOTA BHARU | Syed Saddiq Syed Abdul Rahman cuba meminta simpati daripada rakyat dengan menunjukkan Ahli Parlimen Muar itu sebagai mangsa keadaan berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan pecah amanah yang dihadapinya.
Sedangkan, Timbalan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan, Mohd Ekhwan Mohd Hatta, berkata Syed Saddiq dituduh dengan dakwaan itu disebabkan laporan yang dilakukannya sendiri.
Katanya, seperti mana dinyatakan Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, beliau yakin pertemuan dengan Syed Saddiq hanya atas kapasiti peribadi dan persahabatan, bukannya untuk memberi tawaran atau ugutan.
“Syed Saddiq memang mengarut dan memusingkan cerita dengan mengambil kesempatan terhadap pertemuan itu bagi menunjukkan dia seolah-olah disalahkan berhubung kes yang dihadapinya.
“Jika dia rasa tidak bersalah, buat apa takut dan hadapilah sendiri di mahkamah. Jangan pusingkan cerita dengan dakwa terima tawaran selamatkan dia daripada dakwaan pengubahan wang haram dan pecah amanah pula.
“Memang nampak seperti dia nak ‘play victim’ dan bagi nampak disalahkan. Syed Saddiq nak tunjuk kepada masyarakat bahawa dia sekadar mangsa disebabkan tidak menyokong kerajaan dan jika sebaliknya, kes akan ditarik,” katanya ketika dihubungi Journal Malaysia, di sini, hari ini.
Sebelum ini Syed Saddiq mendakwa Wan Ahmad Fayhsal memujuknya untuk kembali kepada parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
Dakwa Syed Saddiq, ajakan itu dibuat sebelum dia didakwa di mahkamah
Hari ini Syed Saddiq di dakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram tiga tahun lalu.
Sebelum ini beliau turut didakwa dengan dua pertuduhan berkaitan pecah amanah dan salah guna wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kesemua pertuduhan melibatkan wang bernilai lebih RM1 juta ringgit.
Tamat