Oleh Nor Shazleza Shahril
MARANG | Umat Islam di negara ini dijangka berpeluang mengerjakan ibadah umrah seawal dua bulan lagi sekiranya kes jangkitan COVID-19 dalam negara menurun dan sasaran 80 peratus penduduk divaksin dicapai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Katanya, perbincangan sudah dilakukan dengan Duta Arab Saudi semalam mengenai isu berkenaan.
“Kita akan buat SOP dahulu, kita melihat kepada dua situasi iaitu satu dalam negara dan satu lagi negara yang ingin dikunjungi iaitu Arab Saudi.
“Setakat ini, kita harap isu berkaitan dengan penyebaran pandemik COVID-19 dapat diredakan dengan sebaik mungkin dan vaksinasi dapat diperbanyakkan.
“Jadi, kalau hal ini dapat diselesaikan, Insya-Allah, saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi, namun bergantung keadaan COVID-19 yang kita hadapi selain kebenaran negara sana,” katanya yang di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Arab Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia sejak 1 Ogos lalu dengan mempermudahkan prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara terbabit.