BACHOK | Bagi mengukuhkan keboleh pasaran graduannya, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan lapan kursus bahasa asing kepada pelajarnya sebagai bahasa ketiga.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Nik Maheran Nik Mohamad berkata, antara bahasa yang ditawarkan Bahasa Arab, Jerman, Jepun, Mandarin, Perancis, Sepanyol, Thailand, dan Bahasa Melayu (ditawarkan kepada pelajar antarabangsa).
Katanya, satu lagi bahasa yang mulad ditawarkan pada Semeter September 2021/2022 adalah bahasa Korea.
“Penguasaan pelbagai bahasa membolehkan mereka berdaya saing bagi menghadapi cabaran peluang pekerjaan yang kian mencabar pada masa kini dan selaras dengan hasrat UMK dalam melahirkan graduan yang holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang.
“UMK mewajibkan pelajar mengambil kursus bahasa ketiga atau bahasa asing semenjak tahun 2007 sehingga kini dan subjek kursus bahasa asing menjadi keperluan pelajar untuk lulus dengan jayanya bagi tujuan bergraduat,” katanya pada Program Road2UMK: Jom Kenali UMK yang disiarkan secara langsung di Facebook OfficialUMK, baru-baru ini.
Prof. Dr. Nik Maheran berkata, UMK telah menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman yang dibawa khas dari negara asal untuk menguasai bahasa dan menghayati budaya negara tersebut seperti Jepun, Mandarin, Thailand dan Arab.
“Untuk tenaga pengajar tempatan, UMK turut menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman luas bagi menyampaikan kursus bahasa asing yang lain kepada pelajar.
“Skop kursus bahasa asing menekankan kemahiran komunikasi dan penulisan dalam bahasa sehingga tahap 3 di Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), UMK,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan awal kepada penguasaan bahasa asing sangat penting untuk meningkatkan potensi kemahiran berkomunikasi dalam bahasa asing sebagai persediaan kepada pelajar untuk menempuh alam pekerjaan.
Katanya, UMK juga turut menawarkan 28 program pengajian akademik dengan kemudahan fasiliti yang mesra pelajar, keupayaan infostruktur dan infrastruktur ICT dan tenaga akademik yang kompeten serta mempunyai budaya pendidikan yang selaras dengan kepentingan industri.
“UMK juga didokong oleh falsafah pendidikan keusahawanan, malah bahasa ketiga juga merupakan salah satu pemangkin kepada UMK dalam mencapai misi UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan nombor 1 di Asia menjelang 2030.
“Penguasaan saan pelbagai bahasa membolehkan seseorang individu menceburi diri dalam bidang pekerjaan seperti penterjamahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman serta sektor pelancongan.
“Selain itu, pembelajaran bahasa asing juga boleh menjadi satu nilai tambah dalam ‘resume’ untuk mendapatkan pekerjaan yang memerlukan seseorang berkemahiran lebih daripada satu bahasa,” katanya.