SERDANG | Kira-kira 100 van pelancong akan diubah suai menjadi ambulans bagi membantu kes-kes kecemasan membabitkan COVID-19 terutama di Lembah Klang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, langkah dirancang di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley itu susulan situasi semasa pandemik COVID-19 negara, selain aduan kelewatan ambulans untuk mengambil pesakit di rumah mengalami sesak nafas dan memerlukan rawatan segera.
Katanya ,inisiatif itu juga bagi membantu pengusaha van pelancongan yang terkesan akibat kawalan pergerakan ketika ini akibat larangan aktiviti rentas negeri, sehingga menyebabkan industri pelancongan turut terjejas.
“Kita akan tukar van biasa menjadi ambulans dan kita akan berbincang dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).
“Kita tahu van pelancong tidak lagi digunakan buat masa kini kerana pelancongan belum lagi dibuka sepenuhnya kerana masih lagi tiada rentas negeri, maka pelancongan terkesan begitu teruk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 di sini hari ini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Ditanya berhubung perkara membabitkan bayaran kepada pengusaha van pelancong terbabit, Ismail Sabri berkata, segala terma dan syarat berkaitan akan diperincikan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan MOTAC dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebanyak 1,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu hal-hal berkaitan logistik di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
Katanya, anggota ATM turut digerakkan bagi membantu petugas kesihatan di hospital sekitar Lembah Klang antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kajang dan Hospital Serdang.
Enggan menjawab hal politik, Ismail Sabri berkata apa yang paling penting baginya sekarang adalah nyawa dan masalah rakyat yang perlu diberi perhatian dalam setiap kerja yang dilakukan.
“Kita mesti beri tumpuan kepada isu yang berlaku hari ini, isu COVID-19 yang melebihi 20,000 kes semalam adalah satu perkara agak menggemparkan dan kita perlu melipatgandakan usaha supaya kes itu dapat dikurangkan, begitu juga masalah ekonomi,” katanya.
Terdahulu Ismail Sabri berkata antara perkara lain yang turut dibangkitkan menerusi taklimat yang dihadirinya dalam lawatan kerja itu ialah isu tambahan katil di hospital, bekalan oksigen dan logistik.