KUALA LUMPUR | Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, mendakwa surat UMNO yang menuntut ahli-ahli Parlimen parti itu menyatakan pendirian terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam tempoh 48 jam sebagai melanggar undang-undang.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau, mendakwa beberapa bahagian di dalam surat berkenaan berbaur ugutan kepada ahli Parlimen dan perkara terbabit adalah bertentangan dengan Seksyen 124, Kanun Keseksaan.
Katanya, seksyen berkenaan dengan jelas menyatakan ahli Parlimen tidak boleh diugut supaya meletak jawatan atau dihalang daripada menjalankan tugas-tugasnya.
“Isi kandungan surat itu berbentuk ugutan, maka ini membabitkan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Saya menerima maklumat, ada pihak akan membuat laporan polis terhadap pihak yang mengeluarkan surat yang mengugut ahli-ahli Parlimen ini,” katanya.
Seksyen 124 Kanun Keseksaan menyentuh perbuatan menyerang, menghalang atau menakutkan dengan kekerasan terhadap ahli Parlimen daripada menjalankan kuasa-kuasa ahli Parlimen yang sah di sisi undang undang.
Semalam tular di media sosial, sepucuk surat daripada pengurusan UMNO kepada semua ahli Parlimen parti itu termasuk yang berstatus Menteri dan Timbalan Menteri, supaya meletak jawatan yang disandang dalam kerajaan PN.
Surat bertarikh 5 Ogos itu dihantar kepada semua ahli Parlimen parti itu bagi menjelaskan pendirian MKT UMNO yang sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Disertakan bersama surat itu ialah surat jawapan balas yang perlu diisi ahli Parlimen UMNO sama ada mereka menyokong kerajaan PN dan tidak melepaskan jawatan lantikan kerajaan PN atau tidak menyokong kerajaan PN dan akan meletakkan semua jawatan disandang.
Setakat ini hanya dua Menteri daripada UMNO sudah meletakkan jawatan iaitu Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.