By Nor Shazleza
MIRI | Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki sedang merompak hasil laut di perairan negara pada jarak lebih kurang 32.6 batu nautika dari barat daya Sungai Miri, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, dalam Op Permai jam 1 tengah hari itu, pihaknya menahan 15 lelaki warga Vietnam berusia antara 18 hingga 64 tahun.
Katanya, pihaknya turut merampas lebih kurang 1,000 liter diesel dan hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan sekitar dua tan metrik.
“Tangkapan itu berikutan aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing Vietnam di beberapa lokasi di perairan Sarawak. Berikutan itu, Zon Maritim Miri melakukan pemantauan rapi di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan bot nelayan asing di perairan Miri dan sekitar.
“Operasi dengan bot Kilat 42 itu, pihaknya mengesan sebuah bot nelayan yang mencurigakan di sekitar perairan Miri. Berdasarkan struktur fizikal, bot itu disyaki bot nelayan asing Vietnam.
“Bot Kilat 42 bertindak merapat untuk memintas serta menahan dengan mengambil masa lebih kurang 20 minit dan berjaya menghimpit bot berkenaan yang sedang leka menangkap ikan tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati bot itu tidak memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Seramai 14 kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, manakala salah seorang daripada kru mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan, berikutan tiada pengesahan kemasukan ke Malaysia yang sah.
“Bot bersama 15 kru termasuk seorang tekong, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 1,000 liter serta hasil tangkapan yang dianggarkan sekitar dua tan metrik ikan campur dirampas dan dibawa masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.