KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat mengurniakan sumbangan kepada keluarga memerlukan di Kampung Gading, Rompin, Pahang, semalam.
Baginda bersama Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada 10 keluarga.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook Istana Negara pada lawatan selama dua jam bermula 3.30 petang semalam, Baginda berkenan mengurniakan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 10 keluarga tersebut yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas serta ibu tunggal.
“Selain mengurniakan sumbangan, Baginda turut berkenan meluangkan masa di setiap rumah dan menyantuni ahli-ahli keluarga tersebut yang mana mencerminkan keperibadian tinggi Baginda terhadap golongan yang memerlukan.
“Semoga sumbangan Seri Paduka Baginda ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka terutamanya dalam menghadapi tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 yang dilaksanakan oleh Kerajaan,” kata kenyataan itu.