SUNGAI PETANI | Dua lagi hospital di Kedah memerlukan kontena sejuk beku, sebagai persediaan menempatkan mayat pesakit COVID-19 yang semakin meningkat.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Othman Warijo, berkata Hospital Baling dan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi hanya mempunyai beberapa peti mayat.
Katanya, pada masa ini tiga buah hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Kulim masing-masing sudah mempunyai satu kontena sejuk beku, sumbangan badan bukan kerajaan (NGO).
“HSB kita perlu sediakan sebuah lagi kontena tambahan berikutan kontena sebelum ini hanya mampu menempatkan 20 jenazah pesakit COVID-19.”Sudah ada beberapa pihak yang bersetuju untuk memberi sumbangan kontena sejuk beku ini. Kita akan agihkan mengikut keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, di Amanjaya Sports Arena, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Othman, berkata berikutan kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat di Kedah, pihaknya akan berbincang untuk menghantar pesakit COVID-19 negeri ini ke Hospital Medan Kepala Batas, Pulau Pinang, sekiranya terdapat keperluan.
Katanya, hospital medan berkenaan sudah menyatakan kesediaan untuk membantu berikutan hospital itu mampu menampung pesakit kategori empat dan lima.
“Wad unit rawatan rapi (ICU) di HSB, HSAH dan Hospital Kulim untuk pesakit COVID-19 sekarang ada 96 katil.
“Sebanyak 90 hingga 94 katil sudah digunakan kerana pesakit di ICU mengambil masa lama iaitu secara puratanya 21 hari untuk kembali stabil, sebelum ditempatkan ke wad biasa.
“Bilangan pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital juga sentiasa bertambah. Untuk kategori empat sahaja mencapai 60 peratus, manakala kategori lima antara 15 hingga 20 peratus,” katanya.
Sementara itu, Dr Othman berkata, penularan COVID-19 di negeri ini sukar diketahui punca berikutan virus itu sudah berada dalam kalangan masyarakat.