KUALA LUMPUR | Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan hebahan infografik yang mendakwa semua aktiviti sukan individu yang tidak membabitkan sentuhan fizikal
dibenarkan seperti yang tular di media sosial.
KBS menerusi satu kenyataan memaklumkan, hebahan infografik yang bertajuk ‘SOP am sektor sukan dan rekreasi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak membabitkan sentuhan fizikal bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam adalah palsu.
Katanya, hebahan infografik itu juga
mendakwa semua aktiviti sukan individu yang tidak membabitkan bersentuhan fizikal dibenarkan adalah mengelirukan.
“Kelonggaran bagi semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak membabitkan sentuhan fizikal hanya dibenarkan di kawasan PPN Fasa Tiga sahaja.
“Infografik sebenar bertajuk ‘SOP am sektor sukan dan rekreasi di bawah PPN Fasa 3’,” katanya.
Antara aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan termasuk jogging, senaman, badmiton, tenis, golf, permotoran, mendaki, renang, tenpin boling, memanah dan gimnasium dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Anda boleh layari http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi atau terus ke laman rasmi Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my .