KUALA LUMPUR |Ketidakseimbangan dalam pengagihan vaksin kepada sesetengah negara mesti ditangani dengan segera.
Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiga pendekatan yang boleh dilakukan untuk menangani isu itu ialah meningkatkan pengeluaran vaksin global dan pada masa yang sama mengetepikan hak harta intelek.
Katanya, prinsip di sebalik saranan ini ialah setiap negara harus memiliki hak untuk membuat vaksin sendiri.
“Pensijilan vaksin perlu diselaraskan, terutama vaksin yang diakui di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memudahkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkaitan pada masa hadapan seperti perjalanan rentas sempadan.
“Pendekatan lain dengan berganding bahu dalam usaha menghapuskan keraguan info-demik dan vaksin yang timbul ekoran perkongsian maklumat dan penyebaran berita yang mengelirukan atau palsu,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Terdahulu, beliau menyertai dan diberi ruang untuk berkongsi pandangan dalam Mesyuarat Pertama Forum Antarabangsa Mengenai Kerjasama Berkaitan Vaksin COVID-19.
“Saya menekankan bahawa tanpa penggunaan vaksin yang meluas, adalah amat sukar untuk dunia menangani cabaran COVID-19 apatah lagi dengan penularan varian-varian baharu ketika ini seperti Delta, Delta Plus dan Lambda.
“Lebih menggusarkan, ketika sesetengah negara mempunyai bekalan vaksin berlebihan, sebahagian negara lain masih tidak mendapat akses terhadap vaksin secukupnya,” katanya.