KOTA BHARU | Seorang mudir pondok ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan dakwaan kes amang seksual terhadap seorang remaja lelaki, Selasa lalu.
Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat mengesahkan lelaki itu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini.
Katanya, lelaki terbabit ditahan pada jam 1 pagi tadi di sebuah rumah di Machang.
“Penahanan itu susulan laporan yang dibuat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun pada jam 10.44 malam semalam, yang mendakwa lelaki itu melakukan amang seksual terhadapnya di sebuah rumah di Kampung Sat Tengah dekat Tanah Merah, 8 pagi, Selasa lalu.
“Selepas kejadian itu, remaja berkenana minta diri untuk ke bilik air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.