By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), hari ini.
Muhyiddin menerusi satu kenyataan memaklumkan, beliau berterima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri, ditentukan melalui usul undi percaya ketika persidangan Dewan Rakyat pada September ini.
Katanya, ia selaras titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepadanya ketika sesi menghadap di Istana Negara di sini, pada Rabu lalu.
“Saya berharap pendirian Ahli Parlimen BN itu akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku ketika ini.
“Seterusnya, ia akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani COVID-19, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negara.
“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan,” katanya hari ini.
Terdahulu pagi tadi, seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Muhyiddin pada sidang media dihadiri 21 wakil rakyat gabungan itu, diketuai Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.
Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.