CYBERJAYA | Kira-kira 1,500 penduduk di Kampung Pangkal Meleret, Jakar dan Pangkal Mak Wan di Temangan, Kelantan kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan tiga buah menara komunikasi baharu telah siap dan beroperasi sejak Jun.
Katanya, menara komunikasi tersebut dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Perkembangan pelaksanaan projek di bawah pelan JENDELA di Temangan turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang membuat tinjauan di salah satu tapak menara komunikasi iaitu di stesen pemancar di Kg. Jakar, baru-baru ini, ” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, selain itu kerja menaik taraf liputan kepada 4G di 23 stesen pemancar komunikasi sedia ada di Temangan sedang giat dilaksanakan.
Katanya, terkini, 14 stesen pemancar telah siap dinaik taraf manakala baki selebihnya masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2022.
“Dalam pada itu, perkhidmatan Pusat Internet Komuniti (PIK) Temangan yang dibuka semula, kini boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak untuk menjalankan aktiviti seharian dan meningkatkan taraf hidup mereka seperti mengembangkan pasaran produknya.