TANGKAK | Polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan berhubung satu posting yang memaparkan beberapa individu sedang makan di dalam kereta dipercayai berdekatan sebuah kedai asam pedas di Tangkak, Johor.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, siasatan akan dibuat berhubung kejadian itu.
Katanya, pihaknya mengesan posting yang tular di laman Twitter sejak semalam yang memaparkan sekeping gambar tangkap layar beberapa individu sedang makan di dalam kereta didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Susulan daripada laporan, polis membuka siasatan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Pihak polis telah merakam percakapan empat individu terbabit dan kertas siasatan akan dilengkapkan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Beliau memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar dapat membendung wabak COVID-19.