KUALA LUMPUR | Sejumlah 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dalam satu sidang media di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Beliau berkata, pendirian itu dibuat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan supaya kerajaan PN terus mentadbir kerajaan.
“Kerajaan PN harus diteruskan sehingga satu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diusulkan pada September depan.
“Kami Ahli Parlimen yang setia akan patuh pada titah Yang di-Pertuan Agong dan menyokong kerajaan PN. Selain daripada itu adalah diluar perkenan Baginda sebelum sidang Parlimen diadakan September nanti,” katanya menerusi siaran langsung.
Ismail Sabri berkata, seramai 21 Ahli Parlimen sudah menandatangani surat akuan dan turut hadir dalam sidang media hari ini.
Katanya, 10 Ahli Parlimen lagi menyatakan persetujuan namun tidak dapat hadir.
“Antara yang tidak dapat hadir dan menyatakan persetujuan adalah, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Datuk Seri Dr Adham Baba; Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sedang menghadiri mesyuarat, serta Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang kini berada di Tokyo, Jepun dan beberapa Ahli Parlimen dari Sabah,” katanya.
Sidang media tersebut turut disertai MIC dan MCA yang menyatakan persetujuan untuk terus kekal menyokong kerajaan PN.
Politik negara sebelum ini dikeruhkan apabila mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan menarik diri dari kerajaan PN dan mahu Muhyiddin meletakkan jawatan seperti kenyataan presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.