PUTRAJAYA | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Shah Alam Convention Centre (SACC) dibanjiri bukan warganegara bagi mendapatkan vaksin.
Sebaliknya kejadian berlaku di PPV Pusat Konvensyen Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN).
SPRM berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bagi menjawab penularan satu video yang telah tular di media sosial.
Katanya, video tersebut mendakwa segerombolan individu bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV SACC, Shah Alam.
Dikatakan juga, penjaga pintu di PPV tersebut telah mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.
“Sehubungan itu, SPRM telah menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit. Hasil risikan mendapati, kejadian itu berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC, Shah Alam sepertimana dikatakan dalam video tersebut,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kesesakan berlaku disebabkan masalah pada sistem di mana temujanji untuk individu juga terselit di PPV Midlands ini.
Katanya, selain itu punca kesesakan juga adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.
“Berhubung tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu untuk dapat masuk adalah tidak benar.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan di media sosial,” kata kenyataan itu.