Oleh Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Usahawan mikro boleh mula memohon skim pembiayaan tanpa caj yang ditawarkan oleh TEKUN Malaysia bermula 15 Ogos ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bagi membantu usahawan mikro untuk memulihkan dan meneruskan semula perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Sebanyak RM100 juta diperuntukkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi pelaksanaan skim ini.
“Saya jangkakan, seramai 11,500 orang usahawan mikro akan mendapat manfaat daripada skim pembiayaan ini.
“MEDAC menerusi TEKUN menawarkan pinjaman sehingga RM20,000 tanpa caj kepada usahawan mikro,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berharap usahawan mikro mengambil peluang memohon skim pembiayaan yang ditawarkan ini untuk menambah modal perniagaan.
Tambahnya, beliau juga mengalakkan usahawan mikro di bawah kategori Pertama Ditutup, Terakhir Dibuka (FCLO) yang terjejas perniagaan berikutan penutupan operasi, untuk mengambil peluang memohon kemudahan skim ini.