KUALA LUMPUR | Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan mengiringi Datuk Azizulhasni Awang untuk meneruskan saingan peringkat suku akhir dalam acara keirin esok.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau amat kagum melihat semangat Shah Firdaus untuk kembali ke atas track pada perlumbaan repechage walaupun dalam keadaan tercedera.
Katanya, walaupun terpaksa menghadapi pusingan repechages sebentar tadi selepas tidak bersaing di pusingan pertama akibat kemalangan dan mengalami sedikit kecederaan.
“Shah Firdaus dilihat tidak mudah menyerah kalah dan memberi saingan yang sengit sebelum berjaya menduduki tempat ke-2 dalam Heat 1 dan layak ke pusingan suku akhir.
“Shah Firdaus mempamerkan semangat juang yang tinggi dimana wajar dipuji oleh seluruh rakyat Malaysia walaupun bersaing dalam kecederaan.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan pasukan berbasikal trek negara esok. Ayuh kita bersama-sama memberi sokongan padu kepada mereka,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Terdahulu, Shah Firdaus terjatuh pada saringan kedua acara keirin di Tokyo 2020, hari ini, hingga menyebabkannya mengalami kecederaan di bahu.