By Nor Shazleza Shahri
KUALA LUMPUR | Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti meraikan Hari Kebangsaan dan bersatu padu melawan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, Jalur Gemilang adalah lambang negara dan apa jua cabaran yang mendatang, sama-sama ditempuhi.
Katanya, seluruh rakyat Malaysia, daripada penjawat awam di Kementerian dan Agensi, warga sektor swasta dan sesiapa juga diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga, tertib dan hormat.
“Saya berharap saudara dan saudari mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau kenderaan masing-masing.
“Marilah kita sama-sama lakukan untuk menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara segera pulih daripada wabak COVID-19.
“Seterusnya kita dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian di Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Malaysia tahun ini, negara masih mengekalkan tema yang sama seperti tahun lalu, iaitu Malaysia Prihatin.
Tahun ini, Terengganu menjadi tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, namun berikutan negara kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan Covid-19, tiada acara sambutan secara fizikal diadakan.